Tuesday, 8 March 2016

Filled Under:

Gaji RM 6000 Ke Atas Di Ladang Australia Tarik Minat Rakyat Malaysia

Rakyat Malaysia bersedia bekerja sebagai pekerja ladang di Australia kerana nilai gaji lumayan, kata agen tempatan yang menguruskan penempatan pekerjaan di negara itu.


Agen tempatan yang membantu rakyat Malaysia mencari pekerjaan sementara sebagai pemetik dan penyusun buah-buahan berkata, pekerjaan seperti itu popular kerana gaji yang tinggi, yang boleh diperoleh sehingga AU$13 (RM39) bagi setiap jam.
Izwan, seorang agen berpangkalan di Shah Alam berkata, beliau sudah menghantar kira-kira 300 hingga 500 rakyat Malaysia ke Australia sejak beliau mula bertugas sebagai agen mencari pekerjaan, 2 setengah tahun lepas.
"Dalam sebulan, antara 10 dan 20 orang akan ke Australia untuk bekerja sebagai pekerja ladang," katanya sambil menambah sebab utamanya adalah kerana wang.
Beliau berkata, agen di Malaysia akan berurusan dengan kontraktor di Australia yang akan mencari pekerjaan, penginapan dan pengangkutan bagi pendatang baharu.
Sesetengah kontraktor yang juga rakyat Malaysia akan berurusan dengan petani mengenai jumlah pekerja diperlukan.
"Dalam sebulan, anda boleh mendapat purata antara RM6,000 dan RM12,000. Tetapi ia bergantung kepada berapa keras anda bekerja," kata Izwan kepada The Malaysian Insider.
Beliau berkata, kira-kira 70% hingga 80% daripada pekerja di beberapa ladang yang mempunyai antara 100 dan 200 pekerja merupakan rakyat Malaysia.
"Percutian sambil bekerja" sudah popular sejak dahulu tetapi kembali menjadi perhatian media kerana siasatan dijalankan terhadap buruh haram di ladang Australia yang menggunakan pelancong asing sebagai buruh.
Media Australia semalam melaporkan mengenai siasatan di Victoria, di mana rakyat Malaysia, Aira Firdaus memberi keterangan sebagai saksi kepada Kesatuan Pekerja Kebangsaan.
Siasatan itu bertujuan mengesan syarikat buruh yang secara terbuka mengiklankan pekerja haram dan buruh dibayar di bawah gaji minimum di ladang serta kilang di Australia, menyasarkan pelancong “backpackers” antarabangsa.
Terdapat minat yang tinggi di kalangan rakyat Malaysia walaupun gaji ditawarkan hanya A$10 hingga A$13 bagi setiap jam (RM30 ke RM39) iaitu di bawah gaji minimum Australia, A$21 (RM63).
Pelancong dilaporkan bekerja sehingga 12 jam sehari selama 6 hingga 7 hari seminggu.
Selain itu, mereka juga dikenakan bayaran perumahan dan pengangkutan untuk ke ladang dan kembali ke tempat penginapan mereka.
Aira dilaporkan memberitahu siasatan itu operasi tersebut seperti "pasaran buruh gelap" dikendalikan syarikat "tidak bertanggungjawab" dan ramai tidak berani menyuarakan mengenai pembayaran di bawah gaji minimum, penyalahgunaan visa dan kerja tidak selamat kerana takut.
Izwan berkata, trend mengambil pekerja ladang sementara di Australia dimulakan kaum Cina Malaysia, yang mula mencari pengalaman itu hampir 30 tahun lalu.
Agen lain yang hanya mahu dikenali sebagai Azmi berkata, rakyat Malaysia mengambil pekerjaan itu sering mempunyai beban kewangan di kampung halaman dan hutang – perlu dibayar balik dengan segera.
"Disebabkan wang, mereka melakukan kerja pertanian walaupun tidak mempunyai pengalaman dalam sektor itu. Ia dilihat sebagai satu-satunya cara mendapatkan lebih banyak wang dalam masa singkat bagi menyelesaikan hutang.
"Selain bekerja sebagai pemetik buah, mereka juga akan melakukan kerja sambilan lain seperti bekerja di restoran makanan segera, mengedarkan surat khabar dan pelbagai jenis kerja lain," kata Azmi.
Beberapa jenis pelancong lain termasuk golongan profesional yang mahu mendapatkan wang tambahan pada waktu rehat, dan juga anak muda yang mahu pengalaman hidup berbeza.
"Kebanyakan mereka mempunyai pekerjaan di Malaysia tetapi tidak mempunyai wang yang cukup," kata seorang lagi agen yang hanya mahu dikenali sebagai Aidil.
Aidil berkata, beberapa pelancong yang memilih untuk bekerja ladang akan tinggal melebihi tempoh visa di Australia walaupun peringatan mengenai risiko, termasuk penggantungan 3 tahun daripada memasuki negara itu jika mereka ditangkap, dan juga dihantar pulang.
"Kita tidak menggalakkan mereka tinggal melebihi tempoh, tetapi kerana kita tidak memegang pasport mereka, mereka sendiri yang membuat keputusan tinggal melebihi tempoh," katanya.
Rujukan: Themalaysianoutsider




0 comments:

Post a Comment