Tuesday 1 March 2016

Filled Under:

'Saya Anak Haram, Sama Level Dengan Babi'


Aku nak kongsia sebuah cerita. Cerita mengenai seorang budak lelaki, iaitu kawan kepada adik aku. Aku namakan dia sebagai Budi. 
Budi sebaya dengan adik aku, 10 tahun. Budi tinggal dengan seorang bekas jiran aku yang tiada anak. Dia mengambil Budi dari rumah anak yatim dan jadikan Budi sebagai anak angkat. 
Ibu bapa Budi tidak dapat dikesan, tetapi Budi memang ditinggalkan di depan rumah anak yatim itu sejak dia masih bayi lagi. Dari hari itulah, pihak rumah anak yatim menjaganya sampai sekarang.
Apa yang membuatkan aku rasa sedih mengenai Budi ini ialah, stigma masyarakat kita. Ya, aku sebenarnya tak tahu macam mana sesetengah orang tahu yang Budi ini sebenarnya anak tidak sah taraf.
Adik aku selalu cerita macam mana penerimaan kawan-kawan sekolahnya terhadap Budi. Kalau ada pergaduhan kecil berlaku, terus mulut mereka berkata,
"Kau tu dahlah anak haram, tak ada mak bapak. Anak haram pulak tu!"
Aku faham, biasalah budak-budak bergaduh. Tetapi apa yang membuatkan saya kecewa ialah, persepsi masyarakat kita yang suka melabelkan orang lain mengikut sesuka hati sehingga menjadi ikutan. 
Bila mak angkat Budi buat aduan di sekolah yang Budi asyik balik dengan muka cedera kena pukul semua, tiada sebarang tindakan tegas dari pihak sekolah. Oleh kerana tidak berpuas hati, mak angkat Budi selalu mencari ibu bapa pelajar yang membuli anaknya selama ini. Mereka bersemuka dan meminta ibu bapa pelajar terbabit mengajar anak-anak mereka berkelakuan baik. 
Malangnya, ibu bapa pelajar yang terlibat tidak berlapang dada dan menyalahkan Budi sebagai pencetus pergaduhan. Menurut mereka, anak mereka baik orangnya, Budi yang selalu mencari pasal, bukannya anak mereka. Bermacam-macam lagi tuduhan yang mak angkat Budi terpaksa telan begitu sahaja.
Sekarang, mereka telah berpindah. Mak angkat Budi buat keputusan drastik untuk balik ke kampung dan sekolahkan Budi di kampung. 
Aku masih ingat lagi masa hari terakhir mengucapkan selamat tinggal kepada mereka.
"Akak tak payahlah sedih sangat bila Budi sudah tiada. Budi kan anak haram, sama level macam babi. Babi kan haram. Kotor, sentuh saja dah berdosa," katanya yang membuatkan aku terus tersentap. 
Kata-kata itu terpacul dari mulut budak berusia 10 tahun. Budi tersengih-sengih melihat aku. Tiada sedikit pun wajahnya nampak sedih. Adik aku kata, memang Budi selalu diejek begitu dan dia sudah lali disamakan dengan babi. Ini juga kerana di mindset orang, Budi adalah anak haram dan haram.
Seorang anak yang dilahirkan dari pasangan yang buat maksiat terus dilabelkan sebagai 'haram'. Masyarakat terus memanggil anak-anak seperti ini 'anak haram'. Bagi aku, Budi sama seperti budak-budak lain. Jika iman tidak dapat diwarisi dari seorang ayah yang bertakwa, jadi adillah kalau aku kata dosa tidak dapat diwarisi dari ibu bapa yang berzina. 
Kenapa ada istilah 'anak haram'? Aku kadang-kadang terfikir siapa yang haram sebenarnya? Entahlah macam mana bila Budi dewasa kelak. Aku tidak faham masyarakat kita yang memandang serong pada golongan yang tidak bersalah tetapi dipandang salah sebab dosa ibu bapa mereka.
Aku minta, kalau kau orang mempunyai rakan seperti ini, tolong bertimbang rasa dan jaga pertuturan anda. Jangan dipandang hina pada mereka disebabkan dosa ibu bapa mereka. Mereka tidak bersalah dan tidak diminta untuk dilahirkan sebagai anak tidak sah taraf. - Wall Flower (IIUM Confession) | PIXEL MEDIA




0 comments:

Post a Comment